Tuesday, 12 March 2013

Mengapa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting?


Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan satu program bagi merencanakan kanak-kanak dalam membimbing dan memperkembangkan potensi mereka agar kanak-kanak ini bersedia untuk membesar dengan matang dan sihat.

Menurut Datin Seri Rosmah Mansor, Penaung Program PERMATA Negara dalam satu artikalnya ada menyebut bahawa "Kita perlu melakukan pendidikan awal ini dengan segera sebab kita tidak mahu mengalami masalah kekurangan golongan cerdik pandai dan ketinggalan dalam perjuangan kearah usaha mewujudkan kemajuan transformasi. Usaha ini juga penting bagi mengelakkan kanak-kanak bijak ini tidak 'dirampas' oleh negara luar,". Ini jelas sama sekali menunjukkan bahawa kanak-kanak serta pendidikan awal adalah sangat penting dan perlu dipandang tinggi bagi menegelakkan berlakunya kehilangan aset besar negara pada masa akan datang.

Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).

Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Namun, sebagai orang yang lebih dewasa kitalah yang seharusnya menjadi contoh dan pembimbing kepada mereka.

No comments:

Post a Comment